DUA MOU DITANDATANGANI : KUMPULAN SAWIT KINABALU MENYAHUT SERUAN HALA TUJU SABAH MAJU JAYA (PELAN PEMBANGUNAN 2021 – 2025) BAGI MEMAJUKAN LAGI EKONOMI NEGERI SABAH

🗓 19 April 2021
📍 Shangri-La’s Tanjung Aru Resort and Spa Kota Kinabalu

Dua (2) Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani di antara Kumpulan Sawit Kinabalu dengan dua (2) buah organisasi berlainan iaitu Admuda Sugar Sdn Bhd dan Borneo Lestari Sdn Bhd masing-masing bertujuan untuk membawa kemajuan kepada ekonomi negeri Sabah.

MoU yang ditandatangani oleh Kumpulan Sawit Kinabalu dan Admuda Sugar Sdn Bhd adalah projek pembinaan kilang pemprosesan gula di Kimanis, Papar dan projek ternakan akuakultur ikan siakap (Barramundi) di Langkon, Kota Marudu dengan Borneo Lestari Sdn Bhd.

Seperti yang tersedia maklum, Sawit Kinabalu adalah sebuah syarikat perladangan dan sumber hasilnya masih bergantung kepada bisnes minyak sawit. Dalam usaha untuk meneruskan bisnesnya, Sawit Kinabalu mengambil langkah-langkah strategik untuk mempelbagaikan bidang perniagaannya bagi melestarikan pulangan perniagaan yang lumayan dan kebersediaan dalam menghadapi cabaran perniagaan di masa hadapan termasuk mengatasi risiko kebergantungan hasil tunggal.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Encik Bacho Jansie, Kumpulan Sawit Kinabalu sentiasa menyokong hasrat murni kerajaan yang sentiasa mencari jalan untuk memajukan negeri Sabah maka Sawit Kinabalu meletakkan komitmennya yang tinggi  dalam menyahut seruan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan 2021 – 2025).

Encik Bacho berkata tambahan lagi, Sawit Kinabalu tergolong dalam tiga sektor utama yang memfokuskan pertumbuhan ekonomi negeri. Perlaksanaan kedua-dua projek ini adalah seiring dengan strategi-strategi yang telah diketengahkan oleh Kerajaan Negeri Sabah di mana salah satunya adalah mengoptimumkan industri agro, akuakulktur dan industri sawit di Sabah.

 

Sehubungan dengan itu, projek-projek yang bakal dilaksanakan ini mampu memberi pulangan yang besar kepada Kumpulan Sawit Kinabalu khasnya dan negeri amnya bukan sahaja dari segi aliran kewangan malah peluang pekerjaan dapat ditambah bagi memperkayakan lagi sosioekonomi rakyat Sabah. Menurut sumber daripada syarikat-syarikat yang akan berusaha sama dengan Kumpulan Sawit Kinabalu ini, projek pembinaan kilang penapisan gula di Kimanis, Papar dan projek ternakan akuakultur ikan siakap (Barramundi) di Langkon, Kota Marudu akan menyediakan peluang-peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung sebanyak 2,000. Selain itu, ianya juga akan melahirkan lebih kurang 250 orang usahawan kecil-sederhana terutama dalam sistem sokongan Projek Akuakultur RAS.

Menurut Y.M Dato’ Sri Raja Sulaiman Raja Shariff wakil Admuda Sugar Sdn Bhd adalah menjadi hasrat syarikat ini untuk membina Kilang Pemprosesan gula yang pertama di Sabah yang mana ianya akan mengeluarkan produk gula halus yang akan dikenali sebagai Gula Kinabalu. Beliau berkata, setakat ini kilang pemprosesan gula halus di Malaysia hanya terdapat di Semenanjung Malaysia seperti MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR). Melalui perlaksanaan projek ini, dijangka sebanyak RM0.5 Billion dapat disumbangkan kepada domestik kasar (GDP) Sabah setiap tahun. Projek ini juga bakal menjadi pemangkin bagi industri lain di Sabah seperti industri pengangkutan, pengedaran produk, perusahaan sederhana kecil (SME) dan perniagaan-perniagaan tempatan, tambah Y.M Dato’ Sri Raja.

 

 

Sawit Kinabalu telah memulakan langkahnya untuk mempelbagaikan perniagaannya bukan sahaja dalam aktiviti ternakan lembu pedaging malah akan berusahasama dengan Borneo Lestari Sdn Bhd untuk sebuah projek akuakultur berasaskan RAS (Re-circulating Aquaculture System) yang mengeluarkan ikan siakap minima sebanyak 1,000 tan dan boleh menampung pengeluaran maksima 1,250 tan setahun.  Menurut Pengarahnya, Encik Lester Lee projek ini telah mendapat komitmen para pengimportnya dari negara Turki, Australia, China dan Korea Selatan sebagai pembeli sedia-ada yang telah menjalinkan hubungan perdagangan dengan Borneo Lestari selama lebih kurang 20 tahun.  Projek ternakan ikan ini dijangka akan memberi jaminan makanan di Sabah dari segi pengeluaran ikan-ikan seperti Siakap, Kerapu, Kakap dan lain-lain lagi tambah Encik Lester.

Sementara itu Ketua Menteri Sabah YAB Datuk Seri Panglima Hj Hajiji Hj Noor yang menyaksikan upacara tersebut mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Sawit Kinabalu, Admuda Sugar dan Borneo Lestari diatas usahasama untuk memajukan pendapatan ekonomi syarikat-syarikat tempatan khasnya dan Negeri Sabah amnya, YAB Ketua Menteri juga turut menyatakan penghargaan dan keyakinannya kepada Kumpulan Sawit Kinabalu selaku Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di atas inisiatif dan usahanya untuk mengekalkan kedudukannya sebagai GLC yang berdaya maju.

ABOUT US

“ Sawit Kinabalu Sdn Bhd is a premier investment arm of the state government in the oil palm industry. Our Vision is to be premier Sabah based oil palm producer & property development.”

CONTACT US

Jalan Kelapa Sawit, Off KM4, Jln Tuaran, 88300 Kota Kinabalu, Sabah

+6088-235 811

+6088-217851